'Bini puaka' seret 2 siswa ke mahkamah

Tuesday, June 30, 2009

'Bini puaka' seret 2 siswa ke mahkamah
Abdul Rahim Sabri
Jun 30, 09
10:33am

Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah yang bakal dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak.

Dua pelajar Akademi Pengajian Islam itu dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan hakim Rosbiahanim Arifin.

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang ini, kedua-dua pelajar itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang tadi.

Tiga suspek dicari

Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut yang enggan dikenali.

Polis sedang mencari tiga lagi suspek, termasuk presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin.

Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).

rosmah grafiti caricarture universiti malaya 300609Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar kini ditahan di penjara Sungai Buloh sementara diikat jamin RM5,000 setiap seorang esok.

Timbalan pendakwaraya Mazelan Jamaludin asalnya meminta jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh untuk semua pertuduhan, termasuk Seksyen 447 kanun yang sama atau kesalahan menceroboh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum enam bulan penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

13 Julai sebutan semula

Peguam kedua-dua tertuduh Mohamed Arfizi Mohd Ramli memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM4,000 kerana kedua-duanya dari keluarga berpendapatan sederhana dan juga masih belajar.

Rosbiahanim menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes itu.

Susulan siasatan terhadap kes tersebut, polis menggeledah empat rumah pelajar, termasuk sebuah yang disewa wanita, universiti tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, exco kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tujuan polis menggeledah.

Pada 26 Jun, sebuah rumah pelajar wanita di Seksyen 17 Petaling Jaya digeledah kira-kira sejam oleh empat anggota polis berpakaian biasa.

Polis merampas cat yang digunakan untuk membuat kain pemidang bagi menyambut kedatangan pelajar baru, Ahad lalu.

Keesokannya, polis menggeledah sebuah rumah pelajar lelaki di Seksyen 17 Petaling Jaya pada sebelah petang. Tiada rampasan dibuat.

Hujung minggu minggu, jam 3 pagi, sebuah lagi rumah pelajar di Seksyen 17 Petaling Jaya didatangi tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dengan membawa Izuddin Hilmi dan Mohd Sharuddin dalam keadaan bergari dengan berbaju tahanan lokap.

Tiada waran geledah

Kumpulan polis yang sama dengan dua suspek kemudian ke rumah pelajar lelaki di Seksyen 14 Petaling Jaya, kira-kira 3.30 pagi. Mereka berada lebih kurang setengah jam.

Mereka selepas itu ke rumah sewa lelaki Seksyen 17 Petaling Jaya, bagi kali kedua sejak 27 Jun lalu, lebih kurang jam 4 pagi.

Tiada rampasan di ketiga-tiga rumah tersebut.

Polis juga tidak menunjukkan sebarang waran geledah di semua rumah terbabit, kata Mohd Aizat lagi ketika diihubungi.

Beliau menjelaskan MPMUM sedang menyediakan khidmat guaman untuk kedua-dua pelajar tersebut.

rosmah mansor and anti rosmah videosRosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya.

Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Universiti Malaya berkata pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

"Biarkan polis kendalikan kes ini," demikian arahan yang diterima beliau, yang enggan dinamakan.

Sumber: Malaysiakini.com

2 comments:

Anonymous July 1, 2009 at 9:03 PM  

dlm kecoh2ni antara yg kesiannya ustaz syukri, dia teruk kena sbb dia pegang nilam puri dan sorang suspek tu ex-JTK NP..salah tarbiyah ke????

Anonymous July 9, 2009 at 9:34 AM  

Naperlah buat macam ni (kalau betullah dorang buat) Tak matang langsung.

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP