Rakyat belum maafkan BN
Tuesday, April 7, 2009
Kejayaan Pakatan Rakyat mengekalkan kerusi parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau dengan pertambahan majoriti membuktikan penolakan berterusan rakyat terhadap BN walaupun pilihanraya umum sudah setahun berlalu.
Kemenangan itu juga menunjukkan rakyat Malaysia masih belum memaafkan BN walaupun Umno - tulang belakang gabungan itu - dan negara sudah bertukar kepemimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.
Ia akhirnya menjadi "pungutan suara" terhadap perdana menteri baru itu yang belum lagi sempat membariskan kabinetnya sejak mengangkat sumpah, Jumaat lepas.
Najib dijangka mengumumkan kabinet baru tengah hari esok.
Kejayaan menteri besar Pakatan di Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengekalkan kerusi parlimen itu - di kubu tradisi Umno - juga menunjukkan bahawa rakyat tidak merestui rampasan kuasa BN di negeri tersebut, Februari lalu.
Ia juga membuktikan strategi kempen BN yang cuba menggambarkan Mohamad Nizar sebagai seorang "penderhaka" kepada Sultan Perak tidak diterima pengundi.
Kini bukan sahaja beliau, malah Bukit Gantang juga "mohon derhaka" - ucapan yang disampaikan sewaktu ingin berbeza pandangan dengan Sultan Azlan Shah di kemuncak krisis dengan Istana Kinta.
Kepemimpinan PAS dilihat tepat membaca politik apabila memilih ADUN Pasir Panjang itu sebagai calonnya di saat-saat akhir untuk memanfaatkan suasana tidak menentu di negeri itu.
Kehadiran mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - yang ingin kembali kepada Umno, Sabtu lalu - juga tidak banyak membantu.
Malah, dipercayai kalangan penyokong Umno akan menyalahkan kehadiran bekas presiden Umno itu atas kekalahan teruk BN di dua kawasan pilihanraya kecil tersebut.
Mohamad Nizar meraih majoriti 2,789 undi apabila menewaskan calon BN Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi.
Arwah wakil rakyat PAS Roslan Shaharum memperolehi 1,566 undi - kali pertama parti itu menawan kubu BN berkenaan.
Sementara calon PKR S Manikumar yang mengekalkan kemenangan bekas wakil rakyatnya V Arumugam menunjukkan calon muka baru tidak menjadi isu kepada pengundi parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun PKR berdepan dengan krisis kecil susulan pemilihan mengejut Manikumar, yang bakal dilantik sebagai exco kerajaan Kedah, tetapi sokongan pengundi di DUN Selambau tetap tidak berubah.
Ahli perniagaan di awal 30-an itu menang dengan majoriti 2,403 undi dengan meraih 12,632 undi. Manakala calon BN Datuk S Ganesan memperolehi 10,229 undi.
Arumugam, waktu itu calon bebas, meraih 2,362 undi.
Mengulas kemenangannya, Mohamad Nizar berkata ia menunjukkan rakyat mahukan demokrasi sebenar dan akan menjadikan kejayaan ini untuk menuntut pembubaran DUN Perak bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan.
http://www.malaysiakini.com/news/101901
0 comments:
Post a Comment